Alor Setar: Lebih 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menyertai latihan simulasi bencana Ex-Putra 2016 anjuran Putra Medical Center (PMC) yang diadakan di Gunung Keriang, hari ini.
Program itu turut disertai 18 petugas PMC yang menjadi `mangsa' runtuhan di gunung itu selain bantuan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang diadakan selama tiga jam bertujuan persediaan dalam memberi bantuan sekiranya berlaku bencana luar di sekitar bandar raya ini.
Pengurus Pasukan Bantuan Kecemasan (Emergency Respon Team (ERT), Noorliza Ahmad berkata, latihan itu turut memberi pendedahan kepada petugasnya yang kebanyakannya baru pertama kali mengalami situasi pertolongan cemas seperti yang dilakukan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan meletakkan pasukan penyelamat mengikut tiga zon iaitu merah, kuning dan hijau malah akan memberi keutamaan kepada mangsa yang kritikal untuk memberi bantuan.
"Ini adalah latihan simulasi kedua yang disertai kami (PMC) selepas latihan di Kompleks Aman Central tahun lalu dan sedikit sebanyak memberi pengalaman kepada mereka dalam menghadapi persiapan menghadapi bencana seperti yang berlaku hari ini malah ia turut disertai doktor dan petugas perubatan," katanya ketika ditemui di lokasi latihan.
Sementara itu, Komander Operasi APM Kedah, Staff Muda (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, pihaknya disertai seramai 35 anggota dari empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Yan dan Padang Terap.
Beliau berkata, latihan itu turut disertai paramedik APM serta anggotanya yang sedikit sebanyak memantapkan lagi kemahiran mereka dalam memberi bantuan awal kepada mangsa atau pesakit yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku hari ini.
Latihan Simulasi Bencana Ex Putra 2016 melibatkan agensi seperti Putra Medical Centre,APM Kota Setar,APM yan,APM Padang Terap,APM Pendang, Bomba Sukarela Seberang Nyonya dan Bomba Sukarela Taman Mutiara.